Sebuah kesihatan dan nilainya


Kesihatan merupakan satu aspek paling penting dalam intipati kehidupan kita. Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW ada menyebut ' perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit '.  Ironinya juga, kebanyakan masalah kesihatan di Malaysia adalah berpunca daripada tabiat makan kita sehari-hari. 

Allah SWT berfirman, bermaksud: "Makanlah dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan." (Surah Al-A'raf: 31) dan "Sesungguhnya orang yang membazir itu saudara syaitan dan syaitan itu kufur dengan Tuhannya." (Surah Al-Israk: 27)

Demikianlah Islam mengajar kita dari salah satu akar umbi untuk kesihatan kita.  Kadangkala, kita sedia maklum akan akibat jika tidak ada aspek pemilihan berhati-hati dalam makanan kita.  Akan tetapi, sudah menjadi lumrah manusia alpa dan terlalu mengikut nafsu makan semata-mata.  Lihat saja, betapa banyak penyakit kronik seperti diabetes mellitus (kencing manis) dan hipertensi (darah tinggi) berpunca daripada pemilihan dan jumlah makanan tidak betul. 

Sebuah kesihatan yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia adalah merupakan satu nikmat yang sangat besar dan tiada tandingan nilainya.  Ia merupakan satu nilai yang tidak dapat dikira atau dibeli dengan wang.  Semasa kita sihat walafiat, kita alpa untuk mengucapkan kesyukuran atas sebuah nikmat kesihatan.  Cuma apabila kita dilanda penyakit, baru la kita merasa ditegur, dan berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kesihatan.  Demikianlah lumrah kehidupan manusia.

Dalam surah Al-A’raf ayat 168, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”

Melihat firman Allah di atas, jelas bahawa pelbagai penyakit yang menimpa umat Islam itu adalah sebahagian daripada cubaan ataupun ujian Allah yang diberikan kepada hamba-Nya.  Sesungguhnya cubaan dan ujian itu adalah sunnatullah yang telah ditetapkan berdasarkan rahmat dan hikmah-Nya, di mana di dalamnya terkandung kebaikan dan rahmat bagi hamba-Nya.  Harus kita ingat bahawa Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap hamba-Nya dengan jalan yang berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan musibah sakit kepada hamba-Nya.



0 comments:

Post a Comment

top